Kelebihan Al-Quran
Al-Quran
ialah Kitabullah yang terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad
s.a.w. Al-Quran merupakan senjata yang paling mujarab yang melimpah
ruah, mata air yang tidak mungkin kering, di dalamnya penuh dengan nur
hidayah rahmat dan zikir.
Al-Quran
diturunkan untuk mengajar manusia tentang pengesaannya kepada Allah
(tauhid). Konsep ibadat yang jelas dan menyeluruh agar manusia sentiasa
mendapat bekalan yang baru dan segar. Mengajak manusia berfikir tentang
ciptaan, pengawasan dan penjagaan yang ditadbirkan oleh yang Maha Agong
agar dapat mengenal sifat-sifatNya yang Unggul.
Di
dalam Al-Quran dipaparkan juga contoh tauladan dan juga kisah-kisah
yang benar berlaku sebelum turunnya Al-Quran dan pada masa penurunan
Al-Quran. Dengan itu manusia mendapat pengajaran dan panduan dalam
mengharungi kehidupan sebagai muslim yang sejati dan benar dalam semua
bidang kehidupan.
Al-Quran
menjelaskan juga persoalan tentang akhir kehidupan manusia, situasi
terakhir yang akan dirasai oleh manusia sebelum bumi ini dihancurkan
oleh Allah untuk bermulanya hari qiamat dan nasib tiap-tiap insan sama
ada ke syurga atau ke neraka.
Sebelum
Al-Quran diturunkan ada banyak kitab suci dan suhuf yang diturunkan
oleh Allah S.W.T kepada nabi-nabi dan rasul-rasulNya. Antara yang
termasyhur ialah kitab Zabur yang diturunkan kepada nabi Daud a.s, kitab
Taurat yang diturunkan kepada nabi Musa a.s, dan kitab Injil yang
diturunkan kepada nabi Isa a.s tetapi tidak syak lagi bahawa Al-Quran
adalah kitab yang paling utama dan termulia di sisi Allah S.W.T.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w telah bersabda yang berbunyi:
Dari Aisyah r.a telah bersabda Rasulullah s.a.w:
Sesungguhnya
tiap-tiap sesuatu itu mempunyai kemegahan yang mana manusia berbangga
dengannya dan menjadi kemegahan kebanggaan umatku ialah Al-Quran yang
mulia.
Al-Quran terpelihara dan
susunannya tidak berubah-ubah dan tidak boleh dipinda atau dihapuskan.
Walaupun banyak usaha dilakukan oleh musuh-musuh Islam untuk mengubah
dan meminda isi kandungan Al-Quran atau memutar belit ayat-ayat dan
surah-surah, setiap kali usaha itu dibuat ia tetap dapat diketahui
termasuk juga usaha golongan-golongan kuffar.
Al-Quran
adalah satu perlembagaan yang lengkap bagi semua aspek kehidupan,
mengandungi semua yang dihajati oleh manusia walaupun sebahagian
daripada huraiannya tidak terperinci. Tujuannya Allah menyuruh manusia
menggunakan fikiran yang sihat dan sempurna untuk mencari dan mengkaji
berpandukan saranan yang diberi oleh Allah S.W.T.
Dalam Al-Quran Allah S.W.T berfirman:
Sesungguhnya
telah datang kepada kau cahaya kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w) dari
Allah dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata kebenarannya dengan
itu Allah menunjukkan jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada
sesiapa yang mengikut keredhaanNya dan denganya Tuhan keluarkan mereka
dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang benderang dengan
izinNya dan dengannya juga Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang betul
dan harus. (Surah Al-Maidah: 14 &15)
Firman Allah S.W.T lagi:
Kitab Al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya dan ianya menjadi petunjuk bagi orang yang bertaqwa. (Surah Al-Baqarah: 2)
Sebuah hadis dari Rasulullah s.a.w berbunyi:
Abu Zar r.a berkata bahawa beliau meminta Rasulullah s.a.w memberi satu pesanan yang berpanjangan. Rasulullah s.a.w bersabda:
“Semaikanlah
perasaan taqwa kepada Allah kerana ia adalah sumber bagi segala
amalan-amalan baik. Aku meminta supaya baginda menambah lagi.
Tetapkanlah membaca Al-Quran kerana ia adalah nur untuk kehdupan ini dan
bekalan untuk hari akhirat.”
Kita
dikehendaki membaca, mendalami dan menghayati isi kandungan Al-Quran
kerana ia diturunkan bukan untuk dijadikan perhiasan sahaja, dengan itu
kita mendapat faedah yang besar bukan sahaja pahala da keredhaan Allah
tetapi juga kegunaan lain dalam kehidupan sehari-hari.
Membaca
Al-Quran dikira sebagai berzikir dan zikir membaca Al-Quran lebih afdal
dan utama daripada zikir-zikir yang lain. Oleh itu membaca Al-Quran
adalah sebagai ibadat tetapi tidaklah melebihi daripada ibadat-ibadat
yang wajib.
Dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda:
Semulia-mulia ibadat umatku ialah membaca Al-Quranul Karim ( ibadat yang bukan wajib).
Membaca Al-Quran disifatkan sebagai santapan rohani kepada tiap-tiap orang Islam.
Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadis berbunyi:
Sesungguhnya Al-Quran ini ialah hidangan Allah S.W.T maka hendaklah kamu terima hidangan Allah sebanyak mana yang kamu boleh.
Al-Quran juga merupakan senjata yang paling berkesan untuk membersihkan jiwa dan menyinarkannya.
Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w bersabda:
Daripada Ibnu Umar r.a berkata:
“Rasulullah
s.a.w telah bersabda, hati manusia akan berkarat seperti besi yang
dikaratkan oleh air. Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula.
Katanya dengan banyak mengingati mati dan membaca Al-Quran.”
PAHALA MEMBACA AL-QURAN
Allah
S.W.T. Yang Maha Pemurah memberi pahala yang amat besar kepada orang
yang membaca Al-Quran, tiap-tiap satu huruf ada pahalanya dan tiap-tiap
satu ayat pun ada ditentukan pahalanya yang tidak sama antara satu
dengan yang lain.
Pahala tiap-tiap huruf Al-Quran dijelaskan dalam sebuah Hadis dari Ibnu Masud r.a dari Rasulullah s.a.w:
Daripada Ibnu Masud r.a telah berkata bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda/;
Barangsiapa
membaca satu huruf daripada Kitabullah maka baginya satu kebajikan dan
setiap kebajikan sepuluh kali gandanya. Aku tidak mengatakan Alif Laam
Miim satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu
huruf.
Mengenai pahala tiap-tiap
ayat telah disebut dalam beberapa hadis antaranya yang diriwayatkan
daripada Abi Hurairah r.a telah bersabda Rasulullah s.a.w:
Sesiapa yang membaca Al-Quran sepuluh ayat dalam satu malam tidak dimasukkan ke dalam golongan yang lalai.
Sesiapa
yang memelihara sembahyang fardu tidak termasuk dalam golongan yang
lalai dan sesiapa yang membaca 100 ayat pada satu malam dimasukkan ke
dalam golongan yang taat.
Barangsiapa
yang mendengarkan satu ayat daripada Al-Quran ditulis baginya satu
kebajikan yang berlipat kali ganda dan barang siapa yang membacanya
adalah baginya cahaya pada hari Qiamat.
Adapun pahala membaca surah-surah banyak diriwayatkan dalam hadis-hadis Rasulullah s.a.w antaranya:
Sesiapa yang mambaca surah Yasin dipermulaan hari, segala hajatnya bagi hari itu dipenuhi.
Sesiapa yang membaca surah al-Waqiah pada tiap-tiap malam kebuluran/kepapaan tidak akan menima dirinya.
Selain
daripada pahala yang disebut sebelum ini, pahala membaca dalam solat
dan pahala membaca dengan berwuduk lebihbesar ganjarannya daripada tidak
berwuduk. Berpandukan Hadis Rasulullah s.a.w yang panjang dapat
disimpulkan seperti berikut:
1. Pahala membaca Al-Quran dalam solat bagi tiap-tiap satu huruf seratus kebajikan.
2. Pahala membaca dengan berwuduk di luar solat bagi tiap-tiap satu huruf sepuluh kebajikan.
KELEBIHAN MEMBACA AL-QURAN
Orang
yang selalu membaca Al-Quran semata-mata kerana Allah diberi kelebihan
yang tinggi dan berbeza semasa mereka masih hidup ataupun sesudah berada
di akhirat di samping kemuliaan yang dikurniakan kepada orang yang
membaca Al-Quran kelebihan melimpah juga kepada kedua ibubapanya.
Hadis dari Rasulullah s.a.w yang berbunyi:
Sesiapa
yang membaca Al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung di
dalamnya, ibubapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang
sinarannya akan melebihi daripada cahaya matahari jika matahari itu
berada di dalam rumah-rumahnya di dunia ini. Jadi bayangkanlah bagaimana
pula orang yang dirinya sendiri mengamalkan dengannya.
Al-Quran
juga dapat memberi syafaat (pertolongan) yang paling tinggi di sisi
Allah S.W.T di hari qiamat. Ini berpandukan kepada Hadis Rasulullah
s.a.w yang berbunyi:
Tidak ada syafaat yang paling tinggi melainkan Al-Quran yang bukan Nabi dan bukan malaikat dan sebagainya.
Hadis lain daripada Othman Ibnu Affan r.a dari Rasulullah s.a.w yang berbunyi:
Sebaik-baik kamu yang mempelajari Al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain.
KERUGIAN MEREKA YANG TIDAK MEMBACA AL-QURAN
Dalam
hadis Rasulullah s.a.w baginda ada menyebut tentang orang yang tidak
ada langsung membaca Al-Quran dan rongga mulutnya kosong dengan
ayat-ayat Al-Quran seperti rumah yang kosong dari penghuni.
Hadis dari Rasulullah s.a.w berbunyi:
Sesungguhnya orang yang tidak ada pada rongganya sedikitpun daripada Al-Quran seperti rumah yang ditinggalkan kosong.
ADAB MEMBACA AL-QURAN
Seseorang
yang membaca Al-Quran seolah-olah ia berada di sisi Allah S.W.T dan
bermunajat kepadaNya maka hendaklah menjaga adab-adab yang tertentu yang
layak di sisi tuhan Yang Maha Agong lagi Maha Mulia. Ulamak-ulamak
muktabar telah menggariskan beberapa adab sebagai panduan sepeti
berikut:
1. Hendaklah sentiasa suci
pada zahir dan batin kerana membaca Al-Quran adalah zikir yang paling
afdal (utama) dari segala zikir yang lain.
2.
Hendaklah membaca di tempat yang suci dan bersih yang layak dengan
kebesaran Yang Maha Agong dan ketinggian Al-Quranul Karim. Para Ulamak
berpendapat sunat membaca Al-Quran di Masjid iaitu tempat yang bersih
dan mulia di samping dapat menambah kelebihan pahala-pahala iktiqaf.
3. Hendaklah memakai pakaian yang bersih, cantik dan kemas.
4.
Hendaklah bersugi dan membersihkan mulut. Melalui mulut tempat
mengeluarkan suara menyebut ayat Al-Quran. Hadis Rasulullah s.a.w
berbunyi:
Sesungguhnya mulut-mulut kamu adalah merupakan jalan-jalan lalunya Al-Quran maka peliharalah dengan bersugi.
Berkata Yazid bin Abdul Mallek:
Sesungguhnya mulut-mulut kamu adalah merupakan jalan-jalan lalunya Al-Quran maka peliharalah dengan bersugi.
5.
Hendaklah melahirkan di dalam ingatan bahawa apabila membaca Al-Quran
seolah-olah berhadapan dengan Allah dan bacalah dalam keadaan
seolah-olah melihat Allah S.W.T. Walaupun kita tidak dapat melihat Allah
sesungguhnya Allah tetap melihat kita.
6. Hendaklah menjauhkan diri dari ketawa dan bercakap kosong ketika membaca Al-Quran.
7. Jangan bergurau dan bermain-main ketika sedang membaca Al-Quran.
8.
Hendaklah berada dalam keadaan tenang dan duduk penuh tertib. Jika
membaca dalam keadaan berdiri hendaklah atas sebab yang tidak dapat
dielakkan adalah harus.
9. Setiap kali memulakan bacaan lebih dahulu hendaklah membaca Istiazah: (A'uzubillahiminasy-syaitannirrajim). Kerana memohon perlindungan dari Allah dari syaitan yang kena rejam.
10. Kemudian diikuti dengan membaca basmallah: (Bismillahirrahmanirrahim).
Hendaklah membaca Bismillah itu pada tiap-tiap awal surah kecuali pada surah At-Taubah.
11. Hendaklah diulang kembali membaca Istiazah apabila terputus bacaan di luar daripada Al-Quran.
12.
Hendaklah membaca dengan Tartil (memelihara hukum Tajwid). Secara tidak
langsung menambah lagi minat kepada penghayatan ayat-ayat yang dibawa
dan melahirkan kesan yang mendalam di dalam jiwa.
Firman Allah S.W.T:
Kami membaca Al-Quran itu dengan tartil.
(Surah Al-Furqan: 32)
Hendaklah kamu membaca Al-Quran dengan tartil.
(Surah Al-Muzammmil: 4)
Pengertian Tartil pada bahasa:
Memperkatakan sesuatu perkara itu dengan tersusun dan dapat difahami serta tanpa gopoh-gopoh.
Menurut
Istilah Tajwid ialah membaca Al-Quran dalam tenang dan dapat melahirkan
sebutan huruf dengan baik serta meletakkan bunyi setiap huruf tepat
pada tempat-tempatnya.
Saidina Ali k.w berkata:
Pengertian tartil ialah mentajwidkan akan huruf-huruf Al-Quran dan mengetahui wakaf-wakafnya.
13. Hendaklah berusaha memahami ayat-ayat yang dibaca sehingga dapat mengetahui tujuan Al-Quran diturunkan oleh Allah S.W.T.
Allah S.W.T. berfirman:
Inilah Al-Quran yang memimpin jalan yang lurus.
(Surah Al-Israi’: 9)
Firman Allah S.W.T.:
Kami turunkan Al-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang mukminin.
(Surah Al-Isra’: 82)
Firman Allah S.W.T. lagi:
Ini
adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu dengan penuh barakah
supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran
orang-orang yang mempunyai fikiran.
(Surah Sad: 29)
14.
Hendaklah menjaga hak tiap-tiap huruf sehingga jelas sebutannya kerana
tiap-tiap satu huruf mengandungi sepuluh kebajikan. Hadis dari
Rasulullah s.a.w berbunyi:
Diriwayatkan
dari Tirmizi dari Abdullah bin Masud daripada Rasulullah s.a.w telah
bersabda sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (Al-Quran)
maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajikan sepuluh kali gandanya.
Aku tidak mengatakan Alif Laam Miim satu huruf tetapi Alif satu huruf,
Lam satu huruf dan Mim satu huruf.
15.
Hendaklah membaca al-Quran mengikut tertib Mashaf. Dilarang membaca
dengan cara yang tidak mengikut susunan kecuali diceraikan surah-surah
dengan tujuan mengajar kanak-kanak adalah diharuskan.
16.
Hendaklah berhenti mambaca apabila terasa mengantuk dan menguap kerana
seseorang yang sedang membaca Al-Quran ia bermunajat kepada Allah dan
apabila menguap akan terhalang munajat itu kerana perbuatan menguap
adalah dari syaitan.
Berkata Mujahid:
Apabila
kamu menguap ketika membaca Al-Quran maka berhentilah dari membaca
sebagai menghormati Al-Quran sehingga selesai menguap.
17.
Hendaklah meletakkan Al-Quran di riba atau di tempat yang tinggi dan
jangan sekali-kali meletakkannya di lantai atau di tempat yang rendah.
Sabda Rasulullah s.a.w berbunyi:
Ubaidah Mulaiki r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“Wahai
kaum ahli-ahli Al-Quran jangan gunakan Al-Quran sebagai bantal tetapi
hendaklah kamu membacanya dengan teratur siang dan malam.”
18. Hendaklah memperelokkan bacaan dan menghiaskannya dengan suara yang baik.
Sabda Nabi s.a.w dalam sebuah hadis:
Telah bersabda Nabi Muhammad saw, hiasilah Al-Quran dengan suara-suara kamu.
19. Setiap bacaan hendaklah disudahi dengan membaca: 20.
Disunatkan berpuasa di hari khatam Al-Quran dan diikuti dengan
mengumpul ahli keluarga dan sahabat handai bersama-sama di dalam hari
khatam Al-Quran. Dalam sebuah hadis ada menjelaskan kelebihan orang yang
telah khatam Al-Quran menerusi sebuah hadis yang berbunyi:
Telah bersabda Nabi Muhammad s.a.w, sesiapa yang telah khatam Al-Quran baginya doa yang dimakbulkan
http://ohislam.com/menghafaz-al-quran-fadhilat-dan-kaifiat/