|
Fakta Sains di Dalam al-Quran |
Fakta Sains di Dalam al-Quran
ASAL-USUL ALAM DARIPADA ASAP?
Di dalam surah Fussilat 41: 11, Allah s.w.t berfirman yang
bermaksud: “Kemudian Dia menuju ke langit dan langit ketika itu
berbentuk asap lalu Dia berkata kepadanya dan bumi: ´Datanglah kamu
berdua dengan tunduk atau terpaksa.´ Keduanya menjawab: ´Kami datang
dengan tunduk.´”
Di dalam kitab Al-Asas fit Tafsir, jilid 9, halaman 5010, Said Hawa
menyatakan: “Sesungguhnya di sana memang sudah ada suatu keyakinan
bahawa sebelum terjadinya bintang-bintang, keadaan adalah di dalam
bentuk gas nebula seperti asap. Dan pandangan yang seperti ini boleh
dianggap sahih kerana ia begitu hampir dengan hakikat kalimat ´dukhan´
di dalam al-Quran.´
PENCIPTAAN ALAM SEMESTA
Penciptaan alam semesta diterangkan oleh ahli astro-fizik (fizik
angkasa) sebagai satu fenomena yang diterima ramai dan dikenali sebagai
´Big Bang.´ Ia disokong oleh data yang diperoleh daripada pemerhatian
dan eksperimen oleh ahli astronomi dan ahli astro-fizik sejak
berdekad-dekad lamanya. Menurut ´Big Bang´, seluruh alam semesta pada
asalnya ialah satu jisim yang besar (Nebula Asas).
Kemudian terjadi ´Big Bang´ (Pemisahan Kedua) yang menghasilkan
galaksi-galaksi. Ia kemudiannya berpecah-pecah lagi untuk menjadi
bintang, planet, matahari, bulan, dan lain-lain. Asal penciptaan alam
semesta ini memang unik dan kemungkinan untuk ia terjadi secara tidak
sengaja adalah sifar.
Al-Quran mengandungi ayat berikut, berkenaan asal kejadian alam
semesta: “Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai
bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum
(sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya?” (surah
Al-Anbiyaa´: 30)
Persamaan di antara ayat Al-Quran dengan teori Big Bang tidak dapat
dinafikan lagi. Bagaimana sebuah kitab yang muncul di padang pasir Arab
1400 tahun lalu, mengandungi fakta sains begini?
WUJUD JISIM GAS SEBELUM PENCIPTAAN GALAKSI
Ahli sains berkata, sebelum galaksi-galaksi di alam semesta ini
dibentuk, yang ada pada mulanya ialah bahan-bahan gas. Dengan kata lain,
bahan-bahan atau awan gas yang besar wujud sebelum pembentukan
galaksi-galaksi. Untuk menerangkan perkara ini, perkataan ´asap´ adalah
lebih sesuai berbanding gas.
Ayat Al-Quran berikut merujuk kepada keadaan alam semesta oleh
perkataan ´dhukhan´ yang bermaksud asap: “Kemudian Dia menujukan
kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan langit sedang langit itu masih berupa
asap; lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi: ´Turutlah kamu
berdua akan perintah-Ku, sama ada dengan sukarela atau paksa!´ Keduanya
menjawab: ´Kami berdua sedia menurut - patuh dengan sukarela.´” (Surah
Fussilat: 11)
Lagi sekali, fakta ini juga tidak diketahui oleh orang Arab pada zaman
Nabi Muhammad s.wa.w. Justeru, dari mana pula sumber ilmu ini?
BENTUK BUMI BULAT
Pada zaman lampau, manusia percaya bumi ini rata. Sejak berkurun-kurun
lamanya, manusia takut untuk belayar terlalu jauh kerana risau mereka
akan jatuh di tebing bumi. Sir Francis Drake ialah orang pertama yang
membuktikan bumi ini bulat apabila beliau belayar mengelilingi bumi pada
tahun 1907.
Lihat maksud petikan ayat al-Quran ini yang membincangkan mengenai
pertukaran siang dan malam: “Tidakkah engkau memerhatikan bahawa Allah
SWT memasukkan malam pada siang dan memasukkan siang pada malam (silih
berganti).” (Surah Luqman: 29)
Memasukkan di sini bermakna malam bertukar menjadi siang secara
perlahan-lahan dan bertahap-tahap dan begitulah sebaliknya. Kejadian
begini hanya boleh berlaku jika bumi ini bulat. Jika ia rata, sudah
tentu perubahan malam dan siang berlaku secara mendadak dan bukan
perlahan-lahan.
Berikut ialah maksud petikan ayat al-Quran yang juga membayangkan bumi
ini bulat: “Dia menciptakan langit dan bumi dengan ada faedah dan guna
yang sebenar; Dia juga menjadikan malam melingkari siang (dengan
gelapnya), dan menjadikan siang melingkari malam (dengan cahayanya).”
(Surah Az-Zumar: 5)
Perkataan Arab yang digunakan di sini ialah ´kawwara´ bermakna ´untuk
menindihkan´ atau ´melingkari´ - seperti serban yang dilingkarkan
mengelilingi kepala. Penindihan dan pelingkaran malam dan siang hanya
boleh berlaku jika bumi ini bulat. Bumi ini bukanlah bulat seperti bola,
tetapi berbentuk geo-spherical (geo-bulat), iaitu leper di hujung.
Ayat berikut mengandungi keterangan mengenai bentuk bumi: “Dan bumi
sesudahkan itu dijadikan berbentuk telur.” (surah An-Naazi´aat: 30)*
(*Perkataan Arab dahaha diterjemahkan oleh Mufti Haji Muhammad Noor
Haji Ibrahim sebagai ´dihamparkannya´, yang juga betul. Perkataan dahaha
juga bermakna telur burung unta. Lihat ayat ini yang berkaitan dengan
sifat cahaya matahari dan bulan: “Dialah yang menjadikan matahari
bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya....´ (Surah Yunus:
5))
Perkataan Arab untuk telur di sini ialah ´dahaha´ yang bermaksud telur
burung unta. Bentuk telur buurng unta menyerupai bentuk bumi yang
geo-bulat (geo-spherical). Justeru, Al-Quran menerangkan bentuk bumi
dengan tepat, walaupun anggapan umum pada masa Al-Quran diturunkan ialah
bumi ini rata.
CAHAYA BULAN ADALAH CAHAYA PANTULAN
Peradaban-peradaban awal manusia percaya bulan menghasilkan cahayanya
sendiri. Sains kini memberitahu kita bahawa cahaya bulan ialah cahaya
yang dipantulkan. Walau bagaimanapun, fakta ini telah disebut di dalam
al-Quran 1400 tahun dahulu di dalam firman-Nya yang bermaksud: “Maha
Berkat Tuhan yang telah menjadikan di langit, tempat-tempat peredaran
bintang, dan menjadikan padanya lampu dan bulan yang menerangi.” (Surah
Al-Furqan: 61)
Perkataan Arab untuk matahari di dalam Al-Quran ialah ´syams´. Ia
merujuk kepada ´siraaj´, yang bermaksud api pelita (torch) atau ´wanhaaj
´yang bermakud ´lampu yang menyala´ atau ´diya´ yang bermaksud
´kemegahan yang menyinari.´ Ketiga-tiga keterangan itu memang sesuai
untuk matahari memandangkan ia mengeluarkan haba dan cahaya oleh sebab
kebakaran dalamannya.
Perkataan Arab untuk bulan pula ialah ´qamar´ dan ia diterangkan di
dalam al-Quran sebagai ´muneer´, iaitu sesuatu yang mengeluarkan nur,
iaitu cahaya. Sekali lagi, keterangan al-Quran menyamai sifat semula
jadi bulan yang tidak menghasilkan cahayanya sendiri dan merupakan benda
yang tidak aktif yang hanya memantulkan cahaya matahari. Tidak pernah
sekalipun di dalam al-Quran, bulan disebut sebagai ´siraaj´, ´wanhaaj´,
atau ´diya´ atau matahari sebagai nur atau ´muneer´.
Ini menunjukkan Al-Quran menyedari perbezaan di antara cahaya matahari dan cahaya bulan.
Lihatlah maksud ayat-ayat firman-Nya ini yang berkaitan dengan cahaya matahari dan bulan:
1. “Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang benderang) dan bulan bercahaya.” (Surah Yunus: 5)
2. “Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah telah
menciptakan tujuh petala langit bertingkat-tingkat. Dan Dia menjadikan
padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu
(yang terang benderang).” (Surah Nuh: 15-16)
MATAHARI TIDAK BERPUTAR
Sejak sedemikian lama ahli falsafah dan ahli sains Eropah percaya bumi
ini berkedudukan tetap di tengah-tengah pusat alam semesta dan semua
benda lain beredar mengelilinginya. Di Barat, konsep alam semesta
berpusatkan bumi (geocentric) ini berleluasa dari zaman Ptolemy pada
kurun kedua Sebelum Masihi lagi.
Pada tahun 1512, Nicholas Copernicus membentangkan teorinya yang
dipanggil Heliocentric Theory of Planetary Motion (Teori Heliocentric
Mengenai Pergerakan Planet), yang mendakwa matahari itu yang
berkedudukan tetap di pusat sistem matahari dengan planet-planet lain
beredar mengelilinginya.
Pada tahun 1609, ahli sains Jerman Yohannus Keppler menerbitkan
Astronomia Nova. Di dalamnya dia menyimpulkan bahawa planet-planet bukan
hanya beredar dalam orbit bujur (elliptical) mengelilingi matahari,
mereka juga berputar di paksinya pada kelajuan yang tidak menentu.
Dengan pengetahuan ini, ahli-ahli sains Eropah mampu menerangkan secara
tepat beberapa corak perjalanan sistem matahari termasuklah kejadian
malam dan siang.
Selepas penemuan-penemuan ini, matahari dianggap sebagai berkedudukan
tetap dan tidak berputar di paksinya seperti bumi. Penulis masih ingat
ketika belajar kesilapan ini dari buku Geografi pada zaman persekolahan
penulis. Lihatlah maksud ayat-ayat al-Quran ini:
“Dan Dialah (Tuhan) yang telah menjadikan malam dan siang, serta
matahari dan bulan; tiap-tiap satunya beredar *terapung-apung di tempat
edaran masing-masing (di angkasa lepas).” (Surah Al-Anbiyaa: 33)
(*Mufti Haji Muhaamd Noor Haji Ibrahim menterjemahkan beredar terapung-apung). Sila lihat keterangan ini:
Perkataan Arab yang digunakan di atas ialah ´yasbahun´. Perkataan
´yasbahun´ diambil dari perkataan ´sabaha´. Ia membawa makna pergerakan
dari benda-benda yang bergerak. Jika anda menggunakan perkataan itu
untuk manusia, ia tidak bermakna orang itu bergolek tetapi ia bermakna
orang itu berjalan atau berlari. Jika anda menggunakan perkataan itu
untuk manusia di dalam air, ia tidak bermakna orang itu sedang
terapung-apung, tetapi bermakna dia sedang berenang.
Begitu juga, jika anda gunakan perkataan ´yasbah´ untuk benda-benda di
angkasa raya seperti matahari ia tidak bermakna ia terbang melalui
angkasa tetapi ia bermakna berputar sambil bergerak melalui angkasa.
Kebanyakan buku teks telah memasukkan hakikat matahari berputar di atas
paksinya.
Putaran matahari di paksinya boleh dibuktikan dengan bantuan peralatan
yang boleh mengimbas imej matahari ke atas meja supaya seseorang itu
boleh mengkaji imej matahari tanpa menjadi buta. Kita boleh perhatikan
matahari menyempurnakan putarannya setiap 25 hari, yakni matahari
mengambil masa 25 hari untuk berputar di paksinya.
Sebenarnya, matahari bergerak melalui angkasa pada kelajuan lebih
kurang 150 batu sesaat, dan mengambil masa 200 juta tahun untuk
menyempurnakan satu pusingan mengelilingi pusat galaksi kita iaitu
Galaksi Bima Sakti.
“Dengan ketentuan yang demikian, matahari tidak mudah baginya mengejar
bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap
satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.”
(Surah Yaa Siin: 40)
Ayat ini memberitahu fakta penting yang ditemui oleh astronomi moden,
iaitu wujudnya orbit tersendiri untuk matahari dan bulan, dan mereka
beredar melalui angkasa dengan pergerakannya sendiri. ´Tempat tetap´, di
mana matahari bergerak menuju ke arahnya dan membawa bersamanya sistem
matahari telah dikenal pasti tempatnya oleh astronomi moden. Ia digelar
Solar Apex. Sistem matahari sesungguhnya bergerak di angkasa ke arah
satu tempat di ´constellation of Hercules ´(alpha layer) yang telah
dikenalpasti dengan sahih di mana letaknya.
Bulan berputar di paksinya dalam tempoh yang sama diambilnya untuk
mengelilingi bumi. Ia mengambil masa 29 1/2 hari untuk menyempurnakan
satu pusingan. Seseorang itu tentunya terkejut dengan ketepatan
saintifik yang ditunjukkan dalam ayat-ayat al-Quran. Justeru, tidak
perlukah kita fikirkan: Apakah sumber ilmu-ilmu yang terkandung di dalam
al-Quran ini?´
MATAHARI AKAN PADAM SELEPAS TEMPOH TERTENTU
Cahaya matahari dihasilkan oleh proses kimia di permukaannya yang
telah berlaku sejak lima billion tahun dahulu. Ia akan padam pada suatu
masa nanti apabila matahari kelenyapan bahan api yang akan membawa
kepupusan kehidupan di bumi ini. Ayat al-Quran menyebut mengenai perkara
ini: ´Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia
kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir
Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Yaa Siin: 38)
(Mesej yang sama difirmankan oleh Allah s.w.t sebagaimana terkandung
di dalam al-Quran menerusi ayat-ayat 13: 2, 35: 13, 39: 5 and 39: 21)
Perkataan Arab yang digunakan di sini ialah ´mustaqarr´, yang bermakna
tempat atau masa yang telah ditentukan. Justeru, al-Quran menyatakan
matahari bergerak menuju ke satu tempat yang ditetapkan dan perkara itu
akan berterusan sehingga ke satu tempoh yang telah ditetapkan - bermakna
ia akan padam atau tamat.
KEWUJUDAN BAHAN DI RUANG ANGKASA
Ruang di luar sistem astronomi yang tersusun dikatakan tidak mempunyai
apa-apa bahan dan vakum sahaja. Ahli astro-fizik kemudiannya menemui
kewujudan bahan-bahan yang dipanggil plasma dan ianya terdiri daripada
gas yang diionkan sepenuhnya dan mengandungi jumlah elektron bebas dan
ion positif yang sama. Ia juga kadang-kadang dipanggil keadaan bahan
yang keempat (selain daripada tiga keadaan yang diketahui- pepejal,
cecair, dan gas).
Al-Quran menyebut kewujudan bahan ini dalam ayat: “Tuhan yang
menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya.”
(Surah Al-Furqaan: 59)
Amat tidak logik sekali untuk sesiapa pun membayangkan kewujudan bahan di antara galaksi telah diketahui 1400 tahun dahulu.
ALAM SEMESTA YANG SENTIASA MENGEMBANG
Pada tahun 1925, ahli astronomi Amerika yang bernama Edwin Hubble,
membentangkan bukti hasil kajiannya bahawa semua galaksi semakin
menjauhi antara satu sama lain, yang membayangkan alam semesta ini
sedang mengembang. Pengembangan alam semesta kini diiktiraf sebagai
fakta sains.
Inilah yang al-Quran katakan mengenai sifat alam semesta ini: “Dan
langit itu Kami dirikan dengan kekuasaan Kami (dalam bentuk binaan yang
kukuh rapi) Dan sesungguhnya Kami adalah mempunyai kekuasaan yang luas
tidak terhingga.” (Surah Dzaariyaat: 47)
Perkataan Arab ´musi´u´n diterjemahkan dengan betul kepada
´mengembangkannya´, dan ia merujuk kepada penciptaan alam semesta yang
amat besar dan sedang mengembang.
Stephen Hawking, dalam bukunya, A Brief History of Time, berkata,
´Penemuan bahawa alam semesta ini sedang mengembang merupakan salah satu
dari revolusi intelek yang amat hebat di kurun ke 21.´
Al-Quran menyebut mengenai pengembangan alam semesta, sebelum manusia
belajar membuat teleskop. Ada yang berkata fakta-fakta astronomi di
dalam al-Quran tidaklah mengejutkan kerana orang Arab memang mahir di
bidang astronomi. Mereka memang betul bila berkata orang Arab mahir di
bidang astronomi.
Bagaimanapun mereka gagal menyedari bahawa al-Quran diturunkan sebelum
orang Arab menjuarai bidang astronomi. Selain daripada itu, kebanyakan
fakta-fakta saintifik yang disebut di atas mengenai astronomi, seperti
asal usul alam semesta dari Big Bang, tidak diketahui oleh orang Arab
walaupun sehingga zaman kegemilangan sains mereka.
Oleh hal yang demikian itu, fakta saintifik di dalam Al-Quran bukan
disebabkan oleh keunggulan orang Arab di bidang astronomi. Malahan, yang
sebaliknya betul. Orang Arab menjuarai astronomi kerana astronomi
disebut di dalam al-Quran.
GAS HIDROGEN DAN HELIUM DAN PERMULAAN LANGIT DAN BUMI
Salah satu kajian dalam bidang ilmu astrofizik ialah tentang keadaan
alam selepas berlakunya Big Bang. Kajian menunjukkan bahawa pengembangan
berlaku di dalam keadaan suhu yang tinggi diikuti dengan penyejukan. Di
peringkat awal itu, proton telah bercantum dengan neutron dan
melahirkan gas deuterium (hidrogen berat atau heavy hydrogen) di samping
gas-gas ringan yang lain, terutamanya helium, dan sedikit daripada
lithium, berylium dan boron. Ini disebutkan juga sebagai ´primary
nebula´.
Akhirnya, dalam jangka masa yang singkat, angkasa raya ketika itu
didominasi oleh gas hidrogen dan helium. Selepas lebih kurang sejuta
tahun, gas di angkasa membeku dan kemudiannya bercantum mengikut
proses-proses tertentu untuk menjadi galaksi, bintang-bintang dan bumi.
Penemuan ini adalah selari dengan pernyataan al-Quran.
PERMULAAN ALAM MENURUT AL-QURAN DAN SAINS
Dalam surah Al-Anbiya ayat 21: 30, Allah s.w.t berfirman yang
bermaksud: “Apakah orang-orang kafir tidak melihat bahawa sesungguhnya
langit dan bumi pada asalnya adalah bercantum sebagai satu, kemudian
Kami pisahkan keduanya…”
Di dalam Al Jamik li Ahkamil Quran Jilid 5 halaman 4323, Imam Qartubi
telah meriwayatkan perkataan-perkataan Ibn Abbas, Al-Hasan, ´Atha,
Ad-Dahhak dan Qatadah: “Ia bermaksud bahawa kedua langit dan bumi pada
asalnya adalah satu yang melekat lagi bercantum, kemudian Allah s.w.t
pisahkan di antara kedua-duanya dan dijadikan di antara kedua-duanya
udara.”
Di dalam Al-Asas fit Tafsir Jilid 7 halaman 3454, Said Hawa telah
mendatangkan riwayat dari Ibn Kathir tentang pandangan Said bin Jubair
berhubung dengan ayat ini: “Bahkan… sebelum ini langit dan bumi melekat
dan bercantum di antara satu dengan yang lainnya. Ketika Allah s.w.t
meninggikan langit maka menonjollah bumi. Demikianlah maksud Allah s.w.t
memisahkan di antara kedua-duanya.”
Syeikh Tantawi Jauhari dalam kitabnya yang terkenal Al-Jawahi´ yang
ditulisnya sekitar tahun 1920-1930, telah menyebutkan: “Apa yang telah
dijelaskan oleh al-Quran dahulu ialah bahawa langit alam yang ada di
dalamnya, adalah semua bercantum lalu Allah s.w.t pisahkan semuanya. Di
sini kita tegaskan bahawa ini adalah mukjizat, kerana ilmu ini belum
diketahui kecuali pada zaman sekarang.”
Berpandukan ayat ini, tafsiran yang muktabar menerima hakikat bahawa
alam ini pada suatu ketika dahulu adalah bercantum sebelum dipisahkan
mengikut yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.
TEORI ´BIG BANG´
Satu teori yang telah diterima umum tentang asal kejadian alam ialah
teori Big Bang. Ia mengatakan bahawa alam ini pada asalnya adalah
bercantum, kemudiannya berlakulah satu letupan yang kuat (cosmic
explosion) 10 ke 20 billion tahun dahulu, yang dinamakan sebagai Big
Bang. Bermula dari situ berlakulah pengembangan dan penyejukan
(expanding and cooling) yang melahirkan bintang-bintang, galaksi dan
yang seumpamanya
Teori ini pada asalnya diasaskan dari formula General Theory of
Relativity yang diutarakan oleh Albert Einstein pada tahun 1915.
Kemudian pada tahun 1922 seorang pakar fizik Rusia, Alexander Friedmann,
telah mengembangkan lagi formula ini dan mengukuhkan lagi teori Big
Bang ini.
Pada tahun 1929, tokoh astronomi dari Amerika, Edwin Hubble, telah
menemui bukti-bukti kukuh yang menyokong teori Big Bang. Dengan
menggunakan alat yang canggih, beliau telah mendapati bahawa alam ini
sedang berkembang sekali gus mengukuhkan pendapat bahawa alam ini
bercantum padu pada asalnya dan letupan besar telah berlaku yang
menyebabkan pengembangan itu.
Penyelidikan berhubung dengan tahap radiasi dan tentang gas helium
yang tersebar secara seimbang di angkasa, adalah selari dengan teori Big
Bang. Kajian tentang tahap radiasi di angkasa raya telah dilakukan oleh
pakar astrofizik dari Amerika, Arno Penzias and Robert Wilson, pada
tahun 1965.
Kajian tambahan yang dilakukan di antara tahun 1989 hingga 1993,
dengan menggunakan alat pengesan khas NASA yang dikenali sebagai ´COBE
Spacecraft,´ juga telah mengesahkan tentang perkara ini.
Pada hari ini dengan alat dan prasarana yang lebih canggih, seperti
makmal CERN yang terletak berhampiran dengan Geneva, banyak kajian baru
yang dapat dilakukan. Kajian-kajian terkini dari makmal ini telah
mengukuhkan lagi teori Big Bang.
Pada tahun 1928, Thomas Gold dan Hermann Bondi telah mengutarakan satu
teori yang berlawanan dengan Big Bang, iaitu, Teori ´Steady State´ yang
mengatakan bahawa alam ini tidak ada permulaan, malah berkeadaan sama
sejak dahulu hinggalah sekarang. Pada tahun 1964, dengan penemuan
gelombang-gelombang tertentu di udara yang mengesahkan tentang kewujudan
Big Bang, teori ini terus ditolak.
Semua ini mengesahkan bahawa langit dan bumi pada suatu ketika dahulu
adalah bercantum padu, kemudiannya dipisahkan. Kesemuanya telah
disebutkan oleh al-Quran.
http://www.al-azim.com/~smkdolsaid/sainsdlmquran.htm
|
|
|
|
Related article |
|
|
|
|
|
|
|
|
Untitled Document
Unlimited calls
Click here
|
Law firm System
Klik sini
|
Dakwah tanggugjawab kita
Nabi menangis mengenangkan umatnya. Kasihanilah mereka yang masih tidak dapat mengenal Allah. Bantulah mereka.... |
Tadarus Hafazan
Tadarus Hafazan Sudah bermula. Sila hubungi admin jika ingin menyertai. Yuran adalah percuma. Klik sini untuk maklumat lanjut
|
|
|
|
|